Friday, August 6, 2010

Suasana Mewujudkan Kualiti

Kualiti bermaksud ukuran kejayaan atau keberkesanan sesuatu perkara. Di mana kualiti tidak boleh mempunyai kecacatan atau kepincangan. Kebiasaannya kualiti dicari di dalam semua perkara. Dan juga syarikat-syarikat beasr atau kecil akan menitik beratkan kualiti. Ini kerana dengan adanya kualiti kelancaran organisasi itu dapat dijamin dan juga keuntungan dapat dijamin. Ada beberapa perkara yang dipertimbangkan di dalam mencari kualiti ini. Antaranya adalah cara pengurusan dan cara komunikasi. Tetapi di dalam artikel ini kita akan membincangkan kualiti yang akan diperoleh dengan mewujudkan suasana yang bagus. Di mana prinsip ini selalu dipandang remeh oleh setiap organisasi. Kebiasaannya, suasana hanya dipentingkan untuk pelanggan.

Tetapi kita boleh melihat betapa besarnya nilai suasana ini hingga boleh menjamin kualiti sesuatu perkara. Jika kita ingin melihat di dalam skop yang besar kita boleh mengambil contoh negara. Sebagai contoh Malaysia. Kita boleh melihat di mana suasana Malaysia yang aman dan tenteram telah melahirkan beberapa orang kenamaan di Malaysia seperti angkasawan Malaysia yang pertama Sheikh Muszaphar Shukor dan juga pemain skuasy no.1 dunia iaitu Datuk Nicol Ann David. Dan jika kita terbalikkan situasi itu kita mengambil contoh negara yang sentiasa berada di dalam suasana perang seperti Israel yang banyak melahirkan pembunuh-pembunuh dan orang-orang yang menipu.

Itu jika kita lihat di dalam skop yang besar. Jika kita lihat di dalam skop yang kecil seperti institusi keluarga. Kita dapat lihat kebiasaannya orang yang berjaya biasanya datang daripada keluarga yang baik. Kita dapat ambil Perdana Menteri Malaysia yang keenam iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau yang berasal dari keluarga yang baik iaitu dari mantan Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak. Beliau kini telah menjadi seorang yang berjaya dan telah berjasa kepada negara Malaysia dengan begitu banyak sekali. Dengan keadaan suasana keluarga yang baik juga telah menyebabkan hasil buah fikiran beliau begitu berkualiti. Beliau telah mencetuskan idea 1 Malaysia yang telah mencetuskan impak yang besar di Malaysia. Hasil buah fikiran beliau yang begitu berkualiti itulah adalah berpunca daripada suasana kerja yang begitu baik, keluarga yang begitu bagus dan keadaan tempat tinggal yang begitu aman dan tenteram.

Jadi dapat kita simpulkan bahawa untuk mendapatkan kualiti yang bagus dari seseorang kita perlulah melihat suasana di mana dia membesar, berkerja dan tempat tinggal seseorang itu sendiri. Mari kita kupas tiga ciri tersebut dengan teliti.

Yang pertama sekali suasana dibesarkan. Ini bermaksud di mana seseorang itu dilahirkan, disekolahkan dan juga di mana seseorang itu makan. Ini akan memainkan peranan yang penting walaupun ramai orang mengatakan bahawa ciri ini tidak akan memainkan peranan yang penting di dalam menjamin kualiti sesuatu perkara itu. Tetapi perkara ini sebenarnya perkara yang penting. Ini adalah kerana perkara ini akan membentuk jati diri seseorang dan keperibadian seseorang. Justeru itu dengan terbentuknya perkara-perkara tersebut juga akan menjamin kualiti sesuatu perkara. Perkara ini juga pernah disebut oleh mantan perdana menteri kita yang keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam bukunya yang bertajuk ‘Dilema Melayu’. Di dalam buku tersebut Dr Mahathir telah menyatakan bahawa suasana sesorang yang dibesarkan akan mempengaruhi pemikiran seseorang itu. Seperti contoh, jika seseorang itu dibesarkan di kampung jadi mereka itu akan mempunyai pemikiran yang sempit dan hanya mementingkan tanaman mereka dan jika seseorang itu dibesarkan di bandar, mereka itu akan mempunyai pemikiran liberal dan mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Ini membuktikan bahawa suasana seseorang itu dibesarkan akan mempengaruhi kualiti sesuatu perkara adalah betul kerana perkara ini telah dikemukakan oleh ramai pemikir di dunia ini. Ini juga membuktikan bahawa perkara ini amat penting. Kita boleh mengatakan bahawa jika seseorang itu dibesarkan di dalam keadaan yang daif, kotor dan banyak perkara-perkara penting tidak dijaga dengan betul seperti kesihatan, pelajaran dan kebersihan akan menyebabkan seseorang itu mempunyai pemikiran yang cetek dan tidak memikirkan kualiti itu satu perkara yang penting. Oleh kerana perkara ini banyak berlaku di dunia ketiga jadi kebanyakan dunia ketiga mempunyai kualiti hasil kerja yang teruk. Kita dapat lihat persekitaran kerja yang teruk, hasil kualiti kerja yang amat rendah dan juga kesalahan-kesalahan kecil yang selalu dilakukan dan juga tidak menitik beratkan tentang perkara-perkara tersebut. Selain itu, jika seseorang itu dibesarkan di tempat-tempat yang agak daif dan tidak memenuhi keperluan hidup ini juga akan menjejaskan makanan mereka, di mana makanan itu akan memberi mereka tenaga dan juga akan membentuk mereka. Kebanyakan negara-negara yang berperang seperti Palestin, Afghanistan dan lain-lain lagi dapat kita lihat anak-anak kecil yang mudah jatuh sakit dan tidak membesar dengan normal seperti anak-anak kecil di negara Malaysia dan juga Singapura. Selain itu, dapat juga kita lihat makanan ini mempengaruhi manusia di dalam kerja mereka dan juga tindak-tanduk mereka. Ini kerana melalui makanan yang sihat kita dapat lihat orang itu akan menjadi seorang yang sihat dan juga yang mempunyai otak yang lebih cergas.

Perkara kedua yang ingin disentuh di dalam menjamin kualiti kerja seseorang itu adalah tempat tinggal seseorang itu. Kita mempunyai pepatah yang menyatakan bahwa ‘rumahku syurgaku’. Bertapa besarnya maksudnya pepatah tersebut walaupun ayatnya terlalu pendek. Pepatah itu menekankan yang bertapa pentingnya rumah kita sehingga menggunakan syurga sebagai kata ganti nama untuk rumah tersebut. Kita dapat mengatakan bahawa kebiasaanya manusia normal akan menghabiskan kebanyakan masanya di rumah mereka sendiri berbanding dengan lain-lain tempat di muka bumi ini. Ini bermaksud bahawa suasana rumah seseorang itu akan mempengaruhi akal fikiran mereka, tingkah laku mereka dan juga akan mempengaruhi kualiti kerja mereka. Kita dapat mengambil contoh di mana suasana rumah yang tenang , tenteram dan selesa akan melahirkan sesorang yang akan menghasilkan kualiti kerja yang bagus. Seperti contoh kita boleh mengambil contoh yang Eric Leong pereka hiasan dalaman yang terkenal. Oleh kerana beliau yang sering menghiaskan rumah seseorang untuk mendapatkan suasana yang bagus kita dapat lihat perkara tersebut telah memberi kesan kepada beliau walaupun secara tidak langsung. Antara kesan yang besar kita dapat lihat adalah kualiti hasil kerja dia. Selain itu, jika kita melihat kepada keadaan rumah seseorang yang kotor atau tidak teratur dan juga selesa akan memberi kesan kepada seseorang itu walaupun secara tidak langsung. Tetapi kesan yang paling besar kita dapat lihat ialah kualiti hasil kerja mereka. Ini kerana dengan keadaan yang kotor dan tidak teratur telah menyebabkan seseorang itu telah biasa dengan keadaan yang tidak mempunyai kualiti. Mereka akan mengaplikasikan apa yang mereka lakukan di rumah mereka di tempat kerja. Jika perkara ini kerap berlaku kualiti hasil kerja seseorang itu akan jatuh dengan teruk dan juga akan menyebabkan sesebuah organisasi mempunyai rekod yang buruk. Perkara ini juga harus dipandang serius oleh organisasi yang selalu berurusan dengan pelanggan. Ini adalah kerana pelanggan akan terus menilali kualiti kerja dan juga kualiti organisasi itu dengan hanya melihat hasil kerja ketika mereka mereka melakukan sebarang urusan.

Perkara ketiga dan juga terakhir yang amat serius dan harus diambil berat oleh setiap orang termasuk yang berada di atas atau di bawah di dalam sesebuah organisasi tiu adalah di tempat kerja. Telah dinyatakan di atas contoh kesan akibat suasana tempat kerja yang bagus adalah hasil kerja Perdana Menteri Malaysia yang keenam iaitu Dato’ Seri najib Tun Razak. Disebabkan suasanan tempat kerja yang menarik beliau dapat berkerja dengan bagus dan menghasilkan beberapa buah idea yang bagus. Tetapi suasana tempat kerja itu adalah amat penting untuk perkerja-perkerja yang menerima arahan. Ini adalah kerana tekanan kerja yang diterima boleh dikurangkan dengan mempunyai suasana tempat kerja yang ceria dan selesa. Dan juga bagi sesetengah orang tempat kerja juga boleh membuatkan mereka berasa tenang dan tempat mereka untuk melupakan seketika masalah peribadi mereka. Jika mereka yang mempunyai masalah peribadi dan mempunyai suasana tempat kerja yang teruk, suram dan kelam kabut akan menyebabkan seseorang itu berasa tekanan. Mereka akan merasa masalah mereka bertambah-tambah. Suasana tempat kerja yang bagus juga memberi kesan kepada organisasi yang berurusan dengan pelanggan. Ini kerana pelanggan dapat melihat terus mereka berkerja dan merasai suasana mereka berkerja. Jika suasana tempat kerja yang suram dan tidak teratur akan menyebabkan pelanggan berasa tidak selesa dan akan menyebabkan pelanggan melarikan diri dan mengelak dari berurusan dengan organisasi itu lagi. Selain itu, suasana tempat kerja yang bagus juga dapat memberi semangat kepada perkerja untuk memberikan hasil kerja yang lebih bagus.

Secara kesimpulannya kualiti itu adalah amat penting. Kualiti itu merupakan perkara yang mesti dicari selain daripada keuntungan. Dengan mempunyai kualiti yang bagus hasil jualan ataupun keuntungan dapat ditingkatkan. Selain itu, dengan mempunyai kualiti yang bagus juga dapat membuatkan orang lain menghormati kita. Telah disebut beberapa kali sebelum ini bahawa kualiti itu berasal dari dir sendiri juga. Ini bermakna untuk mewujudkan sesuatu kualiti itu, maka diri seseorang itu juga harus dijaga dengan penuh teliti.

1 comment:

  1. Salam Wan,
    Mendefinisi kualiti adalah perlu dalam merungkai tajuk yang diperkatakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa banyak faktor-faktor yang mempengaruhi kualiti, namun penting bagi kita menetapkan standard terhadap kualiti yang dikehendaki. Standard ini tidak boleh dikompromi dalam menentukan kualiti yang kita kehendaki. Syarikat TOYOTA misalnya tidak akan menerima kesilapan, walaupun sedikit dalam pemasangan kereta mereka demi menentukan kualiti kereta mereka di peringkat dunia. Tuntasnya, standard dan kualiti adalah saling bergantungan di antara satu sama lain.

    ReplyDelete